Saturday, February 27, 2010
Dia Tendang Budak Itu Macam Bola!
KUALA KUBU BHARU: “Dia tendang budak itu macam bola dan langsung tak pedulikan jeritan orang ramai yang melarangnya,” kata Ahmad Fikri Khalis, 19, yang menyaksikan Syafia Humairah Sahari, 3, dibelasah sehingga mati di padang bola sepak di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini, petang kelmarin. Ahmad Fikri mendakwa, lelaki berusia 28 tahun terbabit yang juga pemandu teksi bukan saja menendang badan kanak-kanak malang itu, malah dia berulang kali memijak kepala mangsa hanya kerana Syafia Humairah masih di luar rumah ketika waktu senja. Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, lelaki terbabit ‘naik angin’ apabila anak teman wanitanya itu tidak patuh arahannya supaya pulang ke rumah. Difahamkan, kanak-kanak malang itu sedang bermain di padang itu sambil menyaksikan beberapa remaja bermain bola sepak sebelum diserang lelaki durjana itu. Menurut Ahmad Fikri, lelaki terbabit secara tiba-tiba datang memarahi Syafia Humairah sebelum hilang pertimbangan lalu membelasah kanak-kanak itu tanpa belas kasihan. “Mulanya dia menampar dan menendang budak itu. Apabila mangsa terjatuh, dia memijak kepalanya walaupun menyedari perbuatannya dilihat beberapa remaja yang sedang bermain bola sepak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurut Ahmad Fikri, selepas lebih 10 minit membelasah kanak-kanak itu, lelaki terbabit beredar dari kawasan berkenaan sebelum orang ramai bergegas memberi bantuan kepada Syafia Humairah. “Seorang daripada penduduk yang menyaksikan kejadian cuba mengangkat budak itu untuk dibawa ke hospital. “Namun, belum pun sempat dia berbuat demikian, lelaki terbabit datang semula sebelum mengangkat mangsa memasuki teksinya. “Dia mendakwa akan membawa sendiri ‘anak tirinya’ itu ke hospital,” katanya. Ahmad Fikri berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kanak-kanak malang itu sudah mati ketika dibawa masuk ke dalam teksi berkenaan. “Mana tidaknya, saya lihat dia langsung tidak bergerak, sebaliknya muka dan tubuhnya kelihatan pucat seperti orang sudah mati. Lebih menyedihkan, katanya, lelaki terbabit dilihat masih memukul mangsa ketika berada dalam teksinya. “Kami (penduduk) bukan tak nak tolong, tapi diugut lelaki berkenaan supaya tidak campur hal keluarganya,” katanya. Difahamkan, sebaik tiba di Hospital Kuala Kubu Bharu di sini, lelaki itu menyamar sebagai ‘bapa tiri’ mangsa sebelum mendakwa mereka terbabit dalam kemalangan menyebabkan anaknya itu cedera parah. Ahmad Fikri berkata, dia dan puluhan lagi rakannya yang menyaksikan kejadian itu tidak mungkin dapat melupakan kekejaman lelaki berkenaan. “Saya berharap pihak berkuasa mengenakan tindakan sewajarnya terhadap lelaki durjana terbabit berikutan kekejamannya itu. “Saya yakin penduduk di sini sanggup tampil membantu siasatan jika diperlukan pihak berkuasa,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tendangmacambola/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment